Serdang, 16 Januari 2024 - YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Majlis Peluncuran Ai Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi turut menyampaikan ucapan alu-aluan sempena majlis peluncuran tersebut.

Ai Untuk Rakyat merupakan usahasama MyDIGITAL bersama Intel untuk menyediakan satu platform secara dalam talian bagi semua lapisan masyarakat di Malaysia untuk mempelajari Ai melalui pembelajaran sendiri. Ai Untuk Rakyat adalah satu inisiatif MyDIGITAL dalam meningkatkan kesedaran mengenai Ai kepada rakyat serta meningkatkan pemahaman asas berkaitan Ai, selaras dengan inisiatif negara dalam memperkasakan Ekonomi Digital Malaysia.

Hadir sama, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi, YBhg. Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Dr. Zunika Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Dr. Yatimah Sarjiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral), Kementerian Ekonomi dan YBhg. Dato’ Luqman Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro), Kementerian Ekonomi.