Kuala Lumpur, 12 Mac 2021 - YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) mengadakan lawatan kerja ke PPR Perkasa, Taman Maluri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi meninjau kumpulan sasar miskin tegar yang terdiri daripada mereka yang menerima bantuan sosial kebajikan, OKU, Bantuan Sara Hidup, bantuan sewa rumah dan peningkatan sosioekonomi.

Tinjauan ini bertujuan untuk mendapatkan input dan maklumbalas kemiskinan terutamanya miskin bandar serta kesan sosioekonomi akibat penularan COVID-19 disamping melakukan verifikasi data e-Kasih yang dikumpulkan oleh ICU JPM.

Tinjauan tersebut merupakan siri pertama dalam beberapa siri tinjauan yang akan dilakukan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi). Dapatan daripada tinjauan akan dijadikan input kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kemiskinan, Jemaah Menteri dan Penyediaan RMKe-12 (2021-2025).

Kerajaan sedang melaksanakan penyelarasan data kemiskinan di bawah HIES & BA 2019 (DOSM), data eKasih (ICU,JPM) dan penerima-penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdahulu, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) turut melawat Restoran Al Mubarak yang menyediakan fasiliti Soup Kitchen bagi meninjau peranan NGO dalam menangani kemiskinan dan membantu kumpulan yang mudah terjejas termasuk golongan gelandangan.

Turut hadir YBhg. Datuk Seri Hj. Mahadi bin Che Ngah, Datuk Bandar Kuala Lumpur; Encik Nor Shah bin Mohamed, SUB Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (Kementerian Wilayah Persekutuan); En. Danil Taridi bin Ghazali, SUB Bahagian Sosioekonomi (Kementerian Wilayah Persekutuan); YBrs. En. Abdul Halim bin Abdul Aziz, Pengarah Bahagian Pembangunan Ekuiti EPU; YBrs. Dr. Mohd Shaharin bin Umar, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sosial EPU dan Encik Mohd Murad Haji Mat Nor, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR PERKASA Taman Maluri, Kuala Lumpur.