PUTRAJAYA, 19 September 2022 - YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) Siri 16 Bilangan 2 Tahun 2022 yang telah dipengerusikan oleh YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia.


Antara hasil perbincanganan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) adalah Jawatankuasa Pertukaran Pegawai PBT diwujudkan di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang akan melaksana pertukaran pegawai PBT ke PBT yang lain.

Mesyuarat turut bersetuju melaksanakan Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) oleh Jabatan Audit Negara bagi memperkasa profesionalisme dan menjamin kebebasan peranan Ketua Audit Negara (KAN).

Mesyuarat turut bersetuju agar Ketua Pegawai Eksekutif daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) termasuk ahli Badan Kehakiman perlu mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM.

Hala tuju Institut Integriti Malaysia (IIM) akan dinilai semula dan diberikan peruntukan geran tahunan yang tetap melalui Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2023.
Rang Undang-undang (RUU) Sumbangan Politik kini akan dikawal selia oleh sebuah entiti bebas dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik pada peringkat Persekutuan dan Negeri.