BANGI, 7 Julai 2023 – YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi bersama YBhg. Dato' Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi meraikan warga kerja cemerlang dan para pesara sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 & Jasamu Dikenang Tahun 2023 Kementerian Ekonomi.

Pada majlis yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen itu, seramai 121 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2022 yang terdiri daripada 42 orang warga Kementerian Ekonomi dan 79 pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bertugas di Ibu Pejabat.

Pesara yang diraikan pula ialah 17 orang dengan 4 daripadanya petugas Kementerian Ekonomi manakala 13 lagi warga kerja DOSM.

Turut berlangsung, penyampaian Anugerah Khas Kementerian Ekonomi kepada 6 orang pegawai.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah. Buat para pesara yang diraikan, jasa anda amat dihargai.