- 80 views
PUTRAJAYA, 8 September 2023 - Satu sesi serahan dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri telah diadakan pada hari ini dan telah diserahkan oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi di Pejabat YAB Perdana Menteri.
Sesi serahan dokumen ini merupakan simbol sempurnanya sesi penyediaan dokumen KSP RMKe-12 sebelum ia dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri di Parlimen pada 11 September 2023.
Penyediaan dokumen ini telah mengambil masa hampir setahun untuk diselesaikan dan telah melibatkan penyertaan semua pemegang taruh yang terdiri daripada kementerian, agensi Kerajaan, pihak swasta, badan antarabangsa, akademia, badan pertubuhan sivil dan orang awam.
KSP RMKe-12 merupakan dokumen dasar yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan berteraskan nilai-nilai murni. Dokumen ini juga disediakan dengan beraspirasikan kepada wadah Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.