- 97 views
NEW YORK, 20 September 2023 - Sempena Persidangan Kemuncak SDG 2023 di New York, Amerika Syarikat pada 18 dan 19 September 2023, Kementerian Ekonomi dengan kerjasama negara Brunei Darussalam, telah menjayakan acara sampingan semasa acara SDG Weekend Action pada 16 dan 17 September 2023. Acara sampingan yang bertemakan “Regional Actions to Support SDG Localisation and Build Resilience” telah dijalankan bersama rakan-rakan strategik UN-Nations Human Settlements Programme (UN-Habitat), United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP), Local 2030, United Cities and Local Governments Asia Pacific (UCLG ASPAC) dan URBANICE Malaysia.
Acara sampingan ini dimulakan dengan penyampaian ucap tama oleh TYT Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad, Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York manakala ucapan penutup disempurnakan oleh PYT Ambassador Noor Qamar Sulaiman, Wakil Tetap Brunei ke PBB, New York. Acara sampingan ini telah diisi dengan sesi perbincangan panel di mana antara ahli panel yang telah membuat pembentangan adalah YBrs Tuan Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) dan PYT Dr Vivi Yulaswati, Timbalan Menteri Perancangan Pembangunan Negara Indonesia. Acara tersebut telah dihadiri 50 peserta terdiri daripada pembuat dasar, pakar dan wakil-wakil kerajaan dari pelbagai negara.
Dalam acara sampingan tersebut, Malaysia telah berkongsi mengenai keperluan untuk mempercepat dan memperluas inisiatif pelaksanaan SDG peringkat tempatan. Dalam melaksanakan usaha ini, semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan bersama-sama pihak swasta dan pemain industri, kumpulan masyarakat sivil perlu berganding bahu dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Dalam acara lain, YBrs Tuan Luqman bin Ahmad juga turut dijemput menjadi ahli panel dalam acara sampingan yang dianjurkan oleh Kerajaan Mesir yang bertemakan “Financing Localization or Localizing Finance?”.