7 Mac 2024, PUTRAJAYA - PUSPANITA Kementerian Ekonomi telah mengadakan Mesyuarat Agung PUSPANITA (MAP) Cawangan Kementerian Ekonomi Tahun 2024 bertempat di Bilik Seminar, Aras G, Menara Prisma. Seramai 250 ahli telah menyertainya secara fizikal dan dalam talian.

Penganjuran MAP Cawangan Kementerian Ekonomi kali ini adalah dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Kementerian Ekonomi bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa Tahun 2024 peringkat Kementerian Ekonomi. Perasmian mesyuarat telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Afisza Ashak, suri Yang Berhormat Menteri Ekonomi selaku Penaung PUSPANITA Kementerian Ekonomi.

Turut hadir YBhg. Datin Roziah Alias, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kementerian Ekonomi dan YBhg. Datuk Dr. Yatimah Sarjiman TKSU(S) merangkap Timbalan Pengerusi II PUSPANITA Cawangan Kementerian Ekonomi.

Antara pengisian program adalah sesi perkongsian ilmu oleh Puan Anita Abu Bakar, Presiden MIASA/Pengerusi Pertubuhan Advokasi Kesihatan Mental Kebangsaan (NAMhA) bertajuk ‘Wanita Bekerjaya: Cabaran, Tekanan dan Kesihatan Mental’, sesi santai bersama selebriti Eira Syazira dan Encik Mohd Azmy Osman, pakar bunga negara. Majlis juga turut diserikan dengan deklamasi puisi oleh Saudara Muhamad Amir bin Azahari bertajuk ‘Wanita Hebat’, hasil nukilan Puan Shaklizana Syuib dari Jabatan Perangkaan Malaysia.