Kementerian Ekonomi melalui Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dengan kerjasama Seksyen Pembangunan Sumber Manusia, Bahagian Sumber Manusia telah menganjurkan Kursus Pengurusan Minit Mesyuarat yang Berkesan bertempat di Hotel Le Meridien, Putrajaya, hari ini.

Majlis dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh YBhg. Datuk Mariam Binti Ilias, Pengarah Sekretariat MTEN, Kementerian Ekonomi. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa penyediaan minit mesyuarat bukan sahaja memerlukan kemahiran mendengar, tetapi juga kemahiran menganalisa, memahami, dan mengaplikasikan gaya bahasa yang sesuai dengan konteks mesyuarat. Ini bagi memastikan minit mesyuarat yang berkualiti, padat, tepat, dan jelas dapat disediakan.

Kursus ini telah dimulakan dengan pembentangan oleh YBrs. Encik Fathi bin Mohamed, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, yang berkongsi mengenai Penyediaan Minit Mesyuarat Kerajaan. Pada sebelah petang, YBrs. Encik Mohamad Affendi Yusoff, Pengarah, Unit Sekretarial Khazanah Nasional Berhad, berkongsi mengenai Penyediaan Minit Mesyuarat Korporat.

Kursus ini diadakan untuk memberi kefahaman kepada warga Kementerian Ekonomi mengenai kepentingan menguasai Pengurusan Minit Mesyuarat yang Berkesan. Ini penting untuk menyediakan kakitangan yang berpengetahuan dalam merancang, mengawal, dan melaksanakan minit mesyuarat dengan lebih efisien dan efektif dalam kerja harian.