- 118 views
Kementerian Ekonomi berbesar hati menerima kunjungan Lawatan Sambil Belajar oleh delegasi dari Universiti Nanjing, Republik Rakyat China yang terdiri daripada tiga (3) orang pensyarah termasuk Dekan Fakulti Ekonomi, Universiti Nanjing bersama 14 orang pelajar prasiswazah.
Lawatan ini merupakan komponen utama Ekspedisi Saintifik Global Sarjana Muda dan Projek Latihan Penyelidikan Universiti Nanjing bertajuk "Penyelidikan Ekonomi China dan Pengalaman Pelaburan dan Pembangunannya di Negara-Negara Belt and Road Initiative (BRI)".
Turut hadir bersama ialah Institute of Malaysian and International Studies (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah dipilih sebagai rakan kolaborasi untuk kajian ini.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelaksanaan Inisiatif BRI di Malaysia, terutamanya dalam konteks penggubalan dasar ekonomi dan perancangan pembangunan sosioekonomi negara.
Lawatan ini diselaraskan oleh Bahagian Kerjasama Antarabangsa (BKA) Kementerian Ekonomi dan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Suhana Md. Salleh, Pengarah Bahagian Ekonomi Makro (BEM) Kementerian Ekonomi. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Bahagian BEM dan BKA.