- 24 views
6 Ogos 2024, Selangor - YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi bersama YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi dan YBhg. Dato' Nor Azmie bin Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi telah merasmikan Majlis Malaysia Semiconductor IC Design Park pada 6 Ogos 2024 di Puchong Financial Corporate Centre (PFCC), Puchong, Selangor.
Malaysia Semiconductor IC Design Park ini merupakan salah satu kejayaan inisiatif KL20 yang telah diumumkan pada bulan April yang lepas dan pelancarannya membuktikan Malaysia kini berada di landasan yang kukuh untuk menjadi pemimpin global dalam pembangunan industri teknologi semikonduktor.
Malaysia Semiconductor IC Design Park ini melibatkan kerjasama kerajaan persekutuan, syarikat semikonduktor antarabangsa, dan kapitalis teroka yang telah dibangunkan menerusi satu inisiatif strategik untuk memanfaatkan keupayaan dan sumber teknologi Malaysia, memupuk inovasi, dan memajukan reputasi negara dalam pembuatan dan reka bentuk teknologi tinggi.
Seperti yang diketengahkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, industri high growth high value (HGHV) E&E bernilai tinggi telah diberi tumpuan sebagai salah satu daripada Anjakan Besar dengan memberi keutamaan kepada aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan pelaburan berkualiti.
Malaysia Semiconductor IC Design Park dijangka akan mengubah sektor semikonduktor Malaysia dengan menyediakan kemudahan canggih dan sistem sokongan menyeluruh untuk memupuk inovasi dan pertumbuhan.
Inisiatif ini bertujuan untuk mengangkat kedudukan Malaysia di pentas global dan memacu pengeluaran produk semikonduktor "Dibuat oleh Malaysia".
Turut hadir, YBhg. Dato’ TS. V Valluvan A/L Veloo, Pengarah Bahagian Industri Pembuatan, Sains dan Teknologi Kementerian Ekonomi.