- 168 views
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Majlis Peluncaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35) pada 19 Ogos 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi telah memberi ucapan aluan pada pembukaan Majlis, diikuti ucapan dari YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, termasuk industri High Growth High Value (HGHV).
Pelan ini menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi MADANI iaitu pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara; kedua, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi; dan ketiga, menegakkan keadilan sosial.
Berpaksikan semangat inklusif, Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan bahawa agenda Bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara. Ini sama sekali, tidak akan menafikan hak kaum lain sebaliknya, mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara. Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 akan melahirkan generasi Bumiputera yang positif, progresif dan inovatif sekali gus mampu bersaing bukan sahaja di peringkat domestik malah di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi, YBhg. Dato' Nor Azmie bin Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Dr. Zunika Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Dr. Yatimah Binti Sarjiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Ekonomi.