19 September 2024, Kuala Lumpur - YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi telah hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Statistik Malaysia (MyStats) ke-11 pada 19 September 2024 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Turut hadir YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato' Marzunisham Omar, Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Habshah Midi, Presiden Institut Statistik Malaysia, YBrs. Puan Noraini binti Ahmad, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Ekonomi serta lebih 1000 peserta yang terdiri daripada ahli statistik, ahli akademik dan penyelidik dari pelbagai agensi secara fizikal dan maya.

Persidangan ini bertemakan "Data dan Kecerdasan Buatan: Memperkasa Masa Depan". Ini mencerminkan peranan yang semakin meningkat dalam menggabungkan teknologi dan data untuk mencipta inovasi serta meningkatkan keberkesanan dalam pelbagai sektor di negara kita. YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, dalam ucapannya, menyebut bahawa dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), fokus diberikan kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI) melalui pelaburan dalam penyelidikan, inovasi, dan pengembangan ekosistem AI.

Matlamat utama adalah memperluas penggunaan AI dalam sektor perkhidmatan awam, pertanian pintar, dan automasi industri. Kerjasama antara sektor awam dan swasta perlu diperkukuh untuk memposisikan Malaysia sebagai peneraju global dalam teknologi AI.

Persidangan ini melibatkan 8 sub tema yang dibentangkan oleh para pembentang bagi menambah input-input dan kajian saintifik merangkumi pelbagai bidang iaitu analisis ekonomi, pembangunan sosial, kecerdasan buatan dan Big Data bagi memperkukuh proses asimilasi sebagai usaha dalam memajukan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.