27 September 2024, Putrajaya - Kementerian Ekonomi telah mengadakan Mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) Perdana pada 27 September 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Mesyuarat ini bertujuan menjelaskan mengenai hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), struktur tadbir urus IAPG dan TWG serta kanvas strategi dan inisiatif 'bold and radical' yang akan menjadi input utama penulisan dokumen RMK13.

Sebanyak lima IAPG telah diwujudkan merangkumi IAPG Penjana Pertumbuhan yang melihat kepada sumber pertumbuhan baharu, IAPG Pemangkin Pertumbuhan yang menumpukan aspek untuk mempercepatkan pertumbuhan seperti pembiayaan, teknologi dan R&D&C&I dan tatakelola, IAPG Pemboleh Daya Pertumbuhan merangkumi antara lain mengenai bakat, kesihatan dan pengangkutan awam, IAPG Kesejahteraan Hidup yang melihat kepada aspek kehidupan wajar dan pembangunan ekonomi wilayah serta IAPG Ekonomi Makro.

Mesyuarat IAPG Perdana ini dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Zunika Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Dr. Yatimah Sarjiman Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral), semua Pengarah Bahagian Kementerian Ekonomi serta pegawai-pegawai daripada kementerian, agensi dan wakil kerajaan negeri.

Taklimat Hala Tuju RMK13 serta Tadbir Urus IAPG dan TWG telah disampaikan oleh Puan Rosnita Hamzah, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Ekonomi.