- 5 views
Putrajaya, 7 November 2024 - Kementerian Ekonomi telah mengadakan Mesyuarat Menteri Ekonomi Dengan Menteri Besar Dan Ketua Menteri Mengenai Penglibatan Kerajaan Negeri Dalam Pelaksanaan Dasar-Dasar Semasa Kerajaan pada 7 November 2024 (Khamis) bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi yang memberi penjelasan mengenai pelaksanaan dasar-dasar semasa Kerajaan. Kementerian Ekonomi kini sedang giat melaksanakan pelbagai dasar yang memerlukan penglibatan aktif kerajaan negeri.
Antara intipati mesyuarat tersebut adalah mengenai Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (RUU CCUS), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Projek-Projek Kecil/Berimpak Tinggi yang berfokuskan rakyat, serta Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR).
Turut hadir, YB Dr. Zaliha Binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi, YB Datuk Amar Douglas Uggah anak Embas, Timbalan Premier Sarawak, YAB Dato' Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak, YAB Tuan Mohd Shukri Bin Ramli, Menteri Besar Perlis, dan YBhg Dato' Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi.
Kesemua negeri memberi komitmen yang amat baik dengan turut menghantar delegasi mewakili ketua kerajaan negeri masing-masing yang tidak berkesempatan hadir. Kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri diharapkan dapat terus memperkukuh usaha dalam merealisasikan dasar-dasar kerajaan demi kemajuan ekonomi negara, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.