12 November 2024, Putrajaya - Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen P213 Mukah, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib menerima Kunjungan Hormat daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Mukah di Menara Prisma pada 12 November 2024.

Kunjungan ini merupakan pengisian pada hari kedua Lawatan Sambil Belajar ke Kuala Lumpur oleh delegasi KMKK yang diketuai oleh Temenggong Bahagian Mukah, En. Henri bin Suhai.

Sehubungan dengan itu, satu taklimat telah diberikan oleh Bahagian Pembangunan Ekuiti (BEQT), Kementerian Ekonomi, diketuai oleh Pengarah BEQT, YBrs. En Azlan bin Abdul Rashid.

Rombongan yang terdiri daripada KMKK, Pejabat Daerah Mukah dan Pusat Khidmat P213 Mukah telah menerima taklimat mengenai peranan, fungsi serta inisiatif-inisiatif Kementerian Ekonomi dalam sistem pentadbiran Malaysia.

YB Timbalan Menteri berharap kunjungan ini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan serta kefahaman kepada delegasi yang hadir mengenai rancangan pembangunan negara serta isu-isu ekonomi semasa.