- 31 views
16 Januari 2025, Putrajaya - YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah menghadiri Sesi Libat Urus Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya pada 16 Januari 2025.
Turut hadir bersama YBhg. Dato' Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi. Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan diperkenalkan bagi mengurangkan kerenah birokrasi serta prosedur tertentu dalam urusan Kerajaan. Ini sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk menambah baik prosedur penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada masyarakat.
Antara intipati penting dalam Ucaptama YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara yang telah dibacakan oleh YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan antaranya ILTIZAM merupakan satu komitmen yang akan diterjemahkan melalui mekanisme perundangan dengan hasrat supaya tiada lagi alasan dan sebab penyedia perkhidmatan Kerajaan untuk tidak berdaya maju, tidak efisyen dan tidak responsif kepada keperluan rakyat.
Keperluan kritikal pada ketika ini adalah untuk mewujudkan satu ekosistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang mampan dengan komitmen untuk penambahbaikan yang berterusan, berkesan dan berimpak tinggi.
Menerusi Iltizam, kita dapat memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien dan responsif terhadap keperluan rakyat. Kerajaan akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sekali gus memastikan Malaysia menjadi negara yang lebih maju dan berdaya saing.