27 Januari 2025, Port Dickson - Program Pemukiman Hala Tuju Kementerian Ekonomi dan Penilaian Prestasi Utama (KPI) Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 24 dan 25 Januari 2025 di Port Dickson, Negeri Sembilan.  

Program ini diadakan adalah bertujuan untuk menetapkan hala tuju strategik bagi Kementerian Ekonomi, menilai pencapaian Kementerian pada tahun 2024 dan memuktamadkan KPI tahun 2025. Program ini juga turut melibatkan agensi di bawah Kementerian Ekonomi dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).

Program ini dihadiri oleh YB Menteri Ekonomi, YB Timbalan Menteri Ekonomi (secara dalam talian), pegawai-pegawai kanan Kementerian serta pengurusan tertinggi agensi di bawah Kementerian Ekonomi dan PKEN.

Program dimulakan dengan pembentangan pencapaian pada tahun 2024 dan cadangan KPI baharu bagi tahun 2025. Slot program turut diisi dengan Mesyuarat Pengurusan dan Mesyuarat Pasca Kabinet yang dipengerusikan oleh YB Menteri Ekonomi.

Kementerian Ekonomi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan program ini. Diharapkan hasil daripada perbincangan ini akan menjadi asas kukuh dalam memastikan hala tuju kementerian khususnya dan ekonomi negara umumnya pada tahun 2025 terus progresif, mampan, dan inklusif.

#KementerianEkonomi
#RMK13
#MalaysiaMADANI
#taatsetia
#MADANIBekerja