Pada 18-20 Jun 2025 (Rabu-Jumaat), Kementerian Ekonomi telah menganjurkan Kursus Coaching Pengurusan Dokumen Rahsia Rasmi Bagi Pendaftar Rahsia / Pendaftar Kecil Rahsia Dan Petugas bertempat di Bilik Seminar, Aras G, Menara Prisma, Kementerian Ekonomi. Kursus ini menghimpunkan seramai 118 orang peserta yang terdiri daripada pegawai Kementerian Ekonomi.

Ceramah ini memberikan penekanan terhadap garis panduan serta pengetahuan asas berkaitan prosedur kawalan dokumen rahsia rasmi. Peserta diberi penerangan menyeluruh tentang langkah-langkah keselamatan perlindungan dokumen seperti yang diperuntukkan dalam peraturan semasa. Ini termasuk pemahaman tentang kepentingan klasifikasi maklumat, tatacara penggunaan cop keselamatan, dan peranan setiap petugas dalam memastikan dokumen rahsia tidak terdedah atau disalah guna.

Melalui ceramah ini, peserta didedahkan kepada proses dan tatacara mengendalikan dokumen rahsia rasmi mengikut kategori yang telah digariskan, iaitu Terhad, Sulit, Rahsia, dan Rahsia Besar. Ceramah ini membantu peserta memahami perbezaan tahap kerahsiaan dan implikasi keselamatan yang berkaitan dengan setiap kategori. Selain itu, penerangan turut merangkumi pengurusan bahan rahsia dalam situasi harian, penyimpanan, penghantaran, dan pemusnahan dokumen secara selamat mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa keselamatan.

Ceramah ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Khalid bin Ahmad, Puan Suzy Ana binti Ami, Encik Mohd Zubir bin Zailani, Encik Malyagus bin Tagi dan dibantu oleh fasilitator iaitu Puan Nurulhain binti Mohamad dari Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

Adalah diharapkan agar peserta bukan sahaja memahami prosedur keselamatan yang betul, tetapi juga menanamkan sikap bertanggungjawab terhadap pengendalian dokumen rahsia dalam tugasan harian. Ceramah ini bertujuan untuk membentuk kesedaran mendalam dalam kalangan peserta mengenai akibat kegagalan mematuhi peraturan keselamatan serta menggalakkan budaya integriti, akauntabiliti dan kerahsiaan dalam penjagaan maklumat rasmi kerajaan, terutamanya dalam persekitaran kerja yang berisiko tinggi terhadap kebocoran maklumat.

#KementerianEkonomi #MalaysiaMADANI #Madanibekerja #MADANIBekerja #TaatSetia