- 54 views
6 Ogos 2025, Putrajaya - Kursus Modul Pengukuhan, Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) diadakan pada 6 hingga 7 Ogos 2025 anjuran Unit Integriti dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Ekonomi, bertempat di Menara Prisma, Putrajaya.
YBhg. Dato' Ts. V. Valluvan Veloo, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) telah berbesar hati merasmikan kursus MPGIA ini. Penceramah jemputan terdiri daripada Institut Tadbiran Negara Awam (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Unit Audit Dalam, Kementerian Ekonomi. Kursus ini telah dihadiri oleh 50 warga Kementerian Ekonomi.
Kursus MPGIA ini dianjurkan bagi memenuhi arahan Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2021 Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) kepada penjawat awam dalam usaha pemantapan governans, integriti dan antirasuah dalam perkhidmatan awam.
Kursus yang dijalankan ini menjadi salah satu substrategi di bawah Strategi 1: Pendidikan, Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, iaitu substrategi 10: Menjamin Pelaksanaan MPGIA oleh Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan di peringkat Kementerian, Jabatan dan Agensi. Kursus MPGIA ini juga merupakan inisiatif penting yang selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk membina sebuah negara yang berintegriti dan bebas rasuah. Ia selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13) yang menekankan Pengukuhan Tatakelola Baik dengan memastikan perkhidmatan yang telus, tangkas dan tuntas.
#RancakkanMADANI
#MADANIBekerja
#MalaysiaMADANI
#KementerianEkonomi
#taatsetia

