- 6 views
Malaysia sedang menua dan tempoh untuk kita bersedia semakin singkat.
Di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa [Sekijang] mengenai Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) 2045 serta pengukuran sumbangan silver economy kepada KDNK negara.
Malaysia telah mencapai status negara menua sejak 2021 dan dijangka menjadi negara tua pada 2048, apabila 14% penduduk berumur 65 tahun dan ke atas. Peralihan ini hanya mengambil masa sekitar 27 tahun jauh lebih singkat berbanding Perancis (115 tahun), Australia (73 tahun) dan Amerika Syarikat (69 tahun).
Perubahan demografi ini bukan sekadar isu penuaan penduduk. Ia memberi kesan langsung kepada tenaga kerja, produktiviti, simpanan persaraan, kesihatan, penjagaan jangka panjang dan kemampanan fiskal negara.
Justeru, NAB 2045 sedang melalui proses pertimbangan Kerajaan dan disasarkan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri. Rangka tindakan ini akan menjadi kerangka persediaan jangka panjang negara merangkumi ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan kemahiran, perlindungan sosial, keterjaminan kewangan, kesihatan serta penjagaan.
Pada masa yang sama, penuaan penduduk turut membuka peluang pertumbuhan baharu menerusi silver economy. Kerajaan akan meneliti pembangunan indikator khusus bersama agensi berkaitan, termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia, bagi membolehkan sumbangannya kepada ekonomi diukur secara lebih tepat.
Persediaan menuju negara tua perlu bermula sekarang supaya Malaysia bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan demografi, tetapi mampu menjadikannya peluang untuk membina ekonomi yang lebih produktif, inklusif dan berdaya tahan.
#KementerianEkonomi #DewanRakyat #NAB2045 #SilverEconomy #EkonomiMADANI

