- 3 views
Kerajaan komited memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat secara lebih adil dan inklusif.
Dalam jawapan lisan YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, Menteri Ekonomi kepada pertanyaan YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Naim Haji Mokhtar di Dewan Negara pada 3 Ogos 2026, menjelaskan bahawa Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13)menyasarkan bahagian pampasan pekerja (Compensation of Employees, CE) kepada 40% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030, berbanding pencapaian 33.6% pada tahun 2024, sebagai langkah memperkukuh kesejahteraan pekerja dan mempertingkat agihan pendapatan negara.
Bagi merealisasikan sasaran ini, Kerajaan akan mempercepat transformasi struktur ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi yang dipacu inovasi, pendigitalan, teknologi termaju dan aktiviti berintensiti pengetahuan.
Pelaksanaan inisiatif strategik seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) turut diperkasakan bagi menarik pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji yang lebih baik.
Antara inisiatif Kerajaan dalam mencapai usaha ini adalah:
- pembangunan bakat masa hadapan melalui pemerkasaan TVET
- peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja
- pengukuhan padanan pekerjaan dengan kerjasama strategik bersama GLC/syarikat swasta
- penyelarasan gaji secara menyeluruh
- semakan berkala gaji minimum
- pelaksanaan Dasar Gaji Progresif
Selaras dengan aspirasi Kementerian Ekonomi, usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk membina sebuah ekonomi yang lebih produktif, berdaya saing dan berpendapatan tinggi dan terus memacu agenda pembangunan negara, seiring matlamat RMK13 dan Ekonomi MADANI.
#KementerianEkonomi
#MADANIBekerja
#taatsetia

