YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi hari ini menjawab semasa Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat terhadap soalan daripada YB Tuan Haji Aminolhuda bin Hassan, Ahli Parlimen Sri Gading berhubung mekanisme Kerajaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 tidak menjejaskan peluang pekerjaan, meningkatkan harga barangan atau membebankan kos operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Ekonomi memaklumkan bahawa Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober 2026, kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja. Bagi memberi ruang kepada majikan membuat penyesuaian, PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta akan dikecualikan daripada pelaksanaan tersebut, sekali gus membolehkan mereka menyusun semula kewangan dan operasi perniagaan tanpa mengambil langkah drastik, termasuk pemberhentian pekerja.

Pada masa sama, penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum akan dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Pekerja yang terjejas akibat pemberhentian dan dilindungi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) juga layak menuntut faedah berkaitan, termasuk Elaun Mencari Pekerjaan sehingga enam bulan, tertakluk kepada syarat kelayakan.

Bagi memastikan kenaikan gaji tidak memberi tekanan berlebihan kepada harga barangan dan kos sara hidup, Kerajaan akan memperketat penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, mengurus bekalan strategik serta memperluas akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan melalui Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dan Jualan Agro MADANI. Sebanyak RM700 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 30,000 PJRM bersasar di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bandar.

Selain itu, RM50 juta disediakan bagi menganjurkan 5,000 program Jualan Agro MADANI di seluruh negara, yang menawarkan barangan agromakanan segar pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan terus memantau perkembangan kos sara hidup dan melaksanakan langkah bersesuaian bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Kenaikan gaji minimum bukan sekadar meningkatkan pendapatan pekerja, tetapi perlu dilaksanakan secara seimbang agar kebajikan pekerja terjamin, kelangsungan perniagaan terpelihara dan kestabilan harga terus dikekalkan.

#KementerianEkonomi

#MADANIBekerja

#taatsetia