Kementerian Ekonomi adalah agensi utama kerajaan yang bertanggungjawab untuk menyediakan pelan pembangunan negara. Kementerian ini bermula pada 24 April 1956 dengan penubuhan Sekretariat Ekonomi kepada Jawatankuasa Ekonomi Majlis Eksekutif Persekutuan (Economic Committee of Federal Executive Council). Sekretariat Ekonomi telah disusun semula menjadi UPE pada tahun 1961 dan diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Ekonomi) di Jabatan Perdana Menteri. Bermula pada tahun 1970, UPE diketuai oleh seorang Ketua Pengarah dengan Tan Sri Dato’ Thong Yaw Hong dilantik sebagai Ketua Pengarah pertama.

Kementerian Ekonomi telah melalui beberapa proses pengukuhan fungsinya bagi memantapkan peranan UPE dalam perancangan pembangunan sosioekonomi negara. Ini termasuk penyusunan semula struktur organisasinya pada tahun 2007 yang telah mengkhususkan bidang perancangan kepada dua sektor, iaitu perancangan makro dan perancangan sektoral. Pada tahun 2009, Seksyen Penswastaan dan Pembiayaan Inisiatif Swasta (PFI) UPE telah dipindahkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), iaitu satu agensi baharu di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Dengan perubahan kerajaan selepas pilihanraya umum ke-14 pada tahun 2018, UPE telah distruktur semula menjadi kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA). Mandat dan amanat utama MEA adalah dalam menerajui pembangunan sosioekonomi negara melalui perancangan yang berkualiti ke arah pembangunan negara yang inklusif, adil dan saksama. Selain itu, MEA juga diberikan tanggungjawab penyeliaan terhadap 31 agensi, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan perbadanan kemajuan ekonomi negeri. Berikutan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 18 Disember 2019, UPE secara rasmi dibubarkan dengan peranan dan fungsi UPE telah diambil alih oleh MEA. Dengan itu, fungsi MEA lebih menyeluruh meliputi aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan kawal selia.

EPU telah diwujudkan semula sebagai satu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri berikutan pembentukan Kabinet baharu pada 10 Mac 2020. EPU mengambil alih peranan dan tanggungjawab MEA apabila MEA dibubarkan.

Sejak penubuhannya hampir enam dekad lalu, peranan dan fungsi EPU dalam menyediakan pelan perancangan pembangunan negara bagi tempoh sederhana dan jangka panjang tidak banyak berubah walaupun telah melalui beberapa proses penyusunan semula, pembubaran dan pengwujudan semula. EPU sentiasa menjajarkan falsafah pembangunan seiring dengan perubahan pentadbiran Kerajaan dan dasar pembangunan semasa.

Pada 23 Disember 2022, EPU telah dibubarkan berikutan perubahan kerajaan selepas piliharanraya umum ke-15. Peranan dan tanggungjawab EPU diambil alih oleh Kementerian Ekonomi yang diketuai oleh Ketua Setiausaha, Dato’ Nor Azmie bin Diron.

sejarah