Perancangan pembangunan di Malaysia mempunyai tiga peringkat yang meliputi jangka panjang, sederhana dan pendek seperti berikut :

Perancangan Jangka Panjang

  • Model Baru Ekonomi, 2011-2020
  • Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), 2001-2010
  • Wawasan 2020, 1991-2020
  • Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), 1991-2000
  • Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1), 1971-1990

Perancangan jangka panjang menetapkan teras dan strategi yang menyeluruh untuk mencapai sasaran di bawah agenda pembangunan negara dalam jangkamasa panjang.

Perancangan Jangka Sederhana

  • Rancangan pembangunan lima tahun, seperti Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020
  • Kajian Separuh Penggal (KSP) bagi rancangan pembangunan lima tahun

Perancangan jangka sederhana meliputi lima tahun berdasarkan rangka kerja yang ditetapkan oleh RRJP. Ia merupakan dokumen utama untuk pelaksanaan program pembangunan Kerajaan. Rancangan pembangunan lima tahun menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi dan juga siling peruntukan untuk program pembangunan sektor awam. Di samping itu, ia juga menggariskan peranan sektor swasta.

Kajian Separuh Penggal (KSP) bagi rancangan lima tahun dilaksanakan di pertengahan tempoh lima tahun. KSP bertujuan untuk menyemak semula prestasi pencapaian rancangan dasar ekonomi makro dan sektoral untuk dua tahun pertama Rancangan serta membuat pelarasan semula strategi bagi mencapai semakan sasaran baru sekiranya perlu. Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh, kaedah 2 tahun rolling plan diperkenalkan bagi membolehkan keutamaan program dan projek disemak berdasarkan keupayaan kewangan semasa Kerajaan agar lebih efektif.

Perancangan Jangka Pendek

  • Bajet Tahunan

Perancangan jangka pendek merupakan Bajet Tahunan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan. Dasar dan strategi pelaksanaan tahunan adalah selari dengan perancangan jangka sederhana dan panjang. Penyediaan bajet tahunan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk sektor swasta dan badan bukan kerajaan melalui dialog bajet. Peruntukan pembangunan tahunan disedia berdasarkan senarai program dan projek pembangunan yang telah diluluskan di bawah 2 tahun rolling plan.

Secara keseluruhannya, horizon perancangan pembangunan negara dapat dilihat seperti dalam paparan di bawah.

img