Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) merupakan sebuah majlis penasihat ekonomi kepada Kerajaan yang pertama kali telah ditubuhkan pada 7 Januari 1998 semasa pentadbiran Perdana Menteri keempat. Pada ketika itu, MTEN berperanan sebagai badan perundingan kepada Jemaah Menteri untuk menangani masalah ekonomi negara, khususnya memberi nasihat kepada Kerajaan bagi memulihkan ekonomi dan mengelakkannya daripada terjerumus dalam kemelesetan.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Disember 2022 telah bersetuju supaya MTEN dikekalkan sebagai sebuah majlis penasihat ekonomi tertinggi kepada Kerajaan dan akan bertindak sebagai peneraju dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ke atas ekonomi negara secara menyeluruh dengan memberikan fokus kepada keputusan-keputusan dasar merentas Kementerian dan Agensi untuk menyelesaikan isu-isu struktural berkaitan ekonomi mengikut keutamaan Kerajaan

(1) MTEN menjalankan peranan penting dalam menilai dan membuat syor ke atas keputusan-keputusan dasar seperti berikut:

  1. Cadangan untuk memperkukuhkan kedudukan fiskal negara yang meliputi aspek pendekatan ekonomi, sektor tumpuan dan aspek-aspek pelaksanaan;
  2. Cadangan untuk menambah hasil negara yang meliputi perancangan dan pelaksanaan jangka masa pendek, sederhana dan panjang; dan
  3. Meningkatkan daya tahan ekonomi negara (dalam suasana cabaran global, serantau dan domestik) dengan tumpuan terhadap perkara-perkara seperti berikut:
    1. mendorong pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan penyertaan pelaburan swasta yang lebih rancak di dalam sektor-sektor tumpuan bagi meningkatkan daya tarikan pelaburan negara;
    2. membina kemahiran tenaga kerja yang diperlukan bagi memenuhi tuntutan pelaburan dan cabaran ekonomi mutakhir dengan matlamat menaikkan gaji purata pekerja bersesuaian dengan bentuk kerjaya dan kemahiran yang ditawarkan dalam ekonomi yang distrukturkan semula;
    3. meningkatkan daya saing dan mutu persekitaran perniagaan serta kecekapan sistem penyampaian Kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama;
    4. menaik taraf keupayaan dan daya tahan industri mikro, kecil dan sederhana sebagai penyumbang kutipan hasil Kerajaan serta penggerak pertumbuhan ekonomi negara; dan
    5. meningkatkan daya tahan ekonomi negara dengan menangani masalah kerentanan ekonomi dalam kalangan rakyat, khususnya yang berkaitan kos sara hidup, jaringan sosial, peluang pekerjaan dan kemiskinan.

(2) MTEN akan memastikan pelaksanaan dasar-dasar ekonomi menjamin pembangunan yang inklusif dan peningkatan kesejahteraan rakyat di semua peringkat dan meliputi semua golongan.

(3) MTEN juga akan menangani penyelesaian isu dan cabaran yang bersifat struktural dan pelaksanaan untuk mencapai matlamat seperti di perenggan (1) dan (2) di atas melalui pelan pemantauan dan pelaksanaan merentas kementerian dan agensi untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

(4) MTEN akan memfokuskan kepada tiga (3) keberhasilan utama (key result area) iaitu mengukuhkan kedudukan fiskal negara, menambah hasil Kerajaan dan menstrukturkan ekonomi negara.

(5) MTEN turut bertanggungjawab memanggil pakar-pakar dan wakil-wakil mengikut sektor dan industri yang berkenaan untuk memastikan keputusan yang dicapai memenuhi objektif dan telah mengambil kira keperluan, kepentingan dan kebajikan setiap sektor dan industri yang terkesan.

(6) Sebarang keputusan MTEN yang menyentuh dasar dan implikasi kewangan akan tetap melalui proses serta prosedur yang berkuatkuasa dan akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan.

(7) Semua keputusan yang dibuat oleh MTEN perlu dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pengesahan dan keputusan muktamad. Ini bagi memastikan semua keputusan MTEN adalah keputusan Kerajaan yang perlu dilaksanakan dengan berkesan oleh kementerian dan agensi yang berkaitan.

(8) Segala peranan dan tanggungjawab MTEN harus dilaksanakan secara bebas tanpa pengaruh luar.

  1. YAB Pengerusi MTEN mempunyai kuasa untuk melantik atau membatalkan keanggotaan Ahli MTEN.

  2. Keanggotaan Ahli MTEN seperti berikut:

    1. YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan (Pengerusi);

    2. YAB Timbalan Perdana Menteri I merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah;

    3. YAB Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi;

    4. YB Menteri Ekonomi;

    5. YB Menteri Kerja Raya;

    6. YB Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi;

    7. YB Menteri Pengangkutan;

    8. YB Menteri Sumber Manusia;

    9. Ketua Setiausaha Negara;

    10. Ketua Setiausaha Perbendaharaan;

    11. Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi;

    12. Gabenor Bank Negara Malaysia;

    13. YBhg. Tan Sri Mohd Hassan Merican
      Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan (ACFIN)

    14. YBhg. Dato' Ahmad Fuad Md Ali
      Ahli Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan (ACFIN)

    15. Lima (5) orang ahli daripada pelbagai bidang dan kepakaran yang akan dilantik oleh YAB Perdana Menteri

Sekretariat MTEN ditubuhkan di bawah Kementerian Ekonomi bagi membantu urusan keurusetiaan di semua peringkat Mesyuarat MTEN serta juga memantau dan melaporkan kemajuan pelaksanaan kepada MTEN. Sekretariat MTEN diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi sebagai Ketua Sekretariat.

Sekretariat MTEN bertanggungjawab ke atas penyimpanan rekod dan dokumen bahan pembentangan, minit dan lain-lain bahan yang berkaitan dengan Mesyuarat EAC dengan selamat dan sistematik seperti yang ditetapkan dalam Terma Rujukan.

Sekretariat MTEN perlu melaporkan secara berkala pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh MTEN kepada Mesyuarat MTEN.