Keupayaan sesebuah negara untuk bersaing di peringkat global amat bergantung kepada kualiti modal insan yang dimilikinya. Dalam mendepani landskap ekonomi masa hadapan, Kementerian Ekonomi menegaskan bahawa agenda pembangunan bakat tidak lagi boleh dilihat sekadar usaha melahirkan individu yang memiliki segulung kelayakan profesional semata-mata. 


Sebaliknya, fokus utama kini adalah untuk membentuk barisan pemimpin masa hadapan yang berkapasiti tinggi, berdaya saing dan teguh dengan nilai integriti. Komitmen berterusan ini telah dizahirkan oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, Menteri Ekonomi, sewaktu menghadiri Majlis Amanat Menteri Bersama Bakat Yayasan Peneraju pada 23 Julai lalu. 


Majlis tersebut telah menghimpunkan kira-kira 2,000 bakat muda daripada pelbagai bidang profesional dan institusi, sekali gus menjadi manifestasi nyata terhadap usaha progresif kerajaan dalam memperkasakan sosioekonomi Bumiputera.

Pewujudan Peluang Kerjaya Bernilai Tinggi menjadi matlamat Kementerian Ekonomi melalui RMK13 bagi memacu pertumbuhan sektor-sektor berpotensi besar dengan menyasarkan penciptaan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan serta 500,000 peluang kerjaya dalam domain ekonomi digital.

Pemerkasaan Sektor Profesional (Perakaunan & Kewangan): Yayasan Peneraju terus memainkan peranan mandat yang strategik untuk melahirkan 60,000 akauntan profesional menjelang tahun 2030. Usaha ini memperkukuh lagi rekod cemerlang agensi yang telah membangunkan lebih 13,700 penerima manfaat dalam bidang perakaunan dan kewangan sejak tahun 2012.

Majlis ini turut menjadi platform bagi memastikan lebih ramai profesional Bumiputera diberi ruang untuk mencipta peluang serta menyumbang semula kepada pembangunan generasi akan datang. Inilah usaha berterusan Kementerian Ekonomi dalam membina sebuah ekosistem pembangunan bakat yang mampan demi memperkukuh daya saing ekonomi negara.

#KementerianEkonomi 
#MalaysiaMADANI 
#taatsetia 
#YayasanPeneraju