- 2 views
Kerajaan komited memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masyarakat menua melalui pendekatan yang menyeluruh, mampan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Perkara ini dijelaskan oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Merbok di Dewan Rakyat hari ini berhubung tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena masyarakat menua menjelang tahun 2040.
Menurut beliau, peralihan demografi ini perlu ditangani secara terancang melalui pengukuhan dasar, sistem sokongan sosial, perkhidmatan kesihatan, peluang ekonomi serta persekitaran yang inklusif bagi memastikan warga emas terus menikmati kehidupan yang bermaruah, produktif dan sejahtera.
Agenda Negara Menua dan pembangunan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan atau National Ageing Blueprint (NAB) merupakan hala tuju strategik jangka panjang negara. Kementerian Ekonomi sedang menyediakan Kertas Putih NAB dan akan dibentangkan dalam sesi Parlimen yang akan datang.
Antara keutamaan Kerajaan termasuk memperkukuh penjagaan jangka panjang berasaskan komuniti, membangunkan ekonomi penjagaan, melatih penjaga profesional, memperluas perlindungan sosial, meningkatkan kecukupan pendapatan persaraan serta memastikan warga emas terus aktif, sihat dan produktif.
Dengan tadbir urus yang jelas dan pemantauan berkala, Kerajaan komited membina sebuah negara yang membolehkan setiap rakyat menua secara bermaruah dalam masyarakat yang inklusif dan mampan.
#KementerianEkonomi
#MADANIBekerja
#TaatSetia

