Pada 25 September 2026, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, telah berkesempatan menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, bagi menyembah maklum perkembangan, perancangan dan hala tuju pembangunan Persekutuan di Negeri Perak.

Turut hadir YBhg. Datuk Seri Nor Azmie bin Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, dan YBrs. Puan Siti Asiah Ahmad, Ketua Perangkawan Malaysia.

Bagi tahun 2026, sebanyak RM2.32 bilion siling peruntukan disediakan bagi pelaksanaan projek dan program Persekutuan di Negeri Perak, meliputi sektor-sektor penting termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan, infrastruktur, bekalan air, tebatan banjir, pembangunan luar bandar dan keselamatan.

Secara keseluruhan, komitmen projek Persekutuan di Perak bernilai RM29.78 bilion, mencerminkan skala pelaburan pembangunan yang penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, pembangunan wilayah dan kesejahteraan rakyat negeri.

Dalam masa yang sama, YB Menteri turut menyembah maklum mengenai Rang Undang-Undang Statistik 2026 yang menjadi antara langkah penting Kementerian Ekonomi dalam memperkukuh ekosistem data negara.

RUU ini antara lain bertujuan menggantikan Akta Perangkaan 1965 dengan kerangka perundangan yang lebih moden, memperkukuh tadbir urus Sistem Statistik Negara serta menyelaras aktiviti, konsep, definisi, klasifikasi, metodologi dan standard statistik bagi meningkatkan kualiti, kebolehpercayaan dan integriti statistik rasmi.

Bagi Negeri Perak, pendekatan tersebut akan terus menyokong perancangan pembangunan yang mengambil kira keperluan sebenar rakyat, potensi ekonomi negeri dan perubahan sosioekonomi, termasuk dalam menentukan keutamaan pelaburan awam dan penyediaan infrastruktur serta perkhidmatan yang diperlukan.

Kementerian Ekonomi akan terus memperkukuh kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak, bersama DOSM dan seluruh pemegang taruh, bagi memastikan perancangan pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Menjunjung Kasih Tuanku.

Daulat Tuanku.

#KementerianEkonomi

#MADANIBekerja

#TaatSetia

#RMK13