- 36 views
18 Disember 2024, Putrajaya - YAB Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara 2024, bersama barisan pemimpin negara termasuk kedua-dua YAB Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara, dan juga Ketua Jawatankuasa Kerja SDG. Delegasi Kementerian Ekonomi telah diketuai oleh YB Menteri Ekonomi dan pengurusan tertinggi kementerian. Mesyuarat ini adalah acara tahunan dan menjadi platform penting untuk menilai kemajuan Malaysia di dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Sorotan utama antara perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat ini adalah termasuk:
1. Persetujuan terhadap Pelan Strategik Environmental, Social and Governance (ESG) Kebangsaan, yang bertujuan membawa perniagaan Malaysia ke tahap pematuhan dan pelaporan ESG yang lebih tinggi.
2. Fokus kepada sokongan usaha untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar tidak terbeban dengan kos pematuhan ESG, dengan bantuan latihan oleh syarikat tersenarai awam, multinasional, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
3. Pembentangan Laporan Kemajuan SDG Negara serta perkongsian oleh wakil PBB mengenai kemajuan di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Kerajaan MADANI kekal teguh dalam memastikan sasaran indikator SDG dicapai, selari dengan visi Ekonomi MADANI. Pendekatan keseluruhan negara akan terus diperkukuh untuk mempergiat inisiatif ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.