- 15 views
8 Ogos 2024, Kuala Lumpur - YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi telah merasmikan Persidangan Kebangsaan Penjaga 2024, SeDIA24 di M-Resort & Hotel, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. Seterra Dialogue 2024 ini adalah medan yang baik untuk perkongsian idea dan buah fikiran bagi merealisasikan potensi Malaysia dalam masyarakat menua. Persidangan ini sangat penting dalam konteks pembangunan sosioekonomi negara, khususnya dalam menghadapi cabaran penuaan penduduk.
Kementerian Ekonomi bersama Kementerian dan agensi serta pihak berkepentingan, sedang menggariskan beberapa strategi utama untuk menghadapi cabaran penuaan penduduk. Usaha ini sedang dilaksanakan melalui pembangunan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan atau National Ageing Blueprint. Rangka tindakan ini mengandungi pelan tindakan yang merangkumi perancangan dan perencanaan dasar, rangka kerja serta pelan tindakan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Rangka tindakan ini yang dijangka siap pada penghujung tahun 2024, akan dapat membantu Kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam menangani impak penuaan populasi. Kementerian Ekonomi sentiasa komited untuk memastikan pembangunan sosioekonomi yang mampan dan inklusif untuk semua, termasuklah warga berusia agar kesejahteraan rakyat dapat dinikmati secara saksama.