Pada 3 hingga 8 Mei 2026, Kementerian Ekonomi telah melaksanakan Program Transformasi Minda (PTM) Kementerian Ekonomi Tahun 2026 bertempat di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak. Program ini melibatkan seramai 90 orang peserta yang terdiri daripada pegawai lantikan baharu di Kementerian Ekonomi serta Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Tujuan utama PTM dilaksanakan adalah sebagai platform pendedahan awal dan penyesuaian minda pegawai terhadap prinsip serta falsafah pembentukan negara, jentera pentadbiran kerajaan, dan peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam. Selain memenuhi syarat pengesahan jawatan, program ini dirangka khusus untuk memperkukuh jati diri serta nilai profesionalisme pegawai dalam mendepani cabaran dan ekspektasi pelanggan yang dinamik.


Kementerian Ekonomi kekal komited dalam memperkasa pembangunan modal insan sektor awam, dan program ini diharapkan dapat melahirkan penjawat awam yang berwibawa, berintegriti serta berminda kelas pertama selaras dengan usaha memacu pembangunan negara secara mampan.