4 Disember 2024, Kuala Lumpur - Sesi Libat Urus (SLU) Parlimen, Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026-2030 (RMK13) serta Taklimat Projek Kecil Berimpak Tinggi Berpaksikan Rakyat dan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) telah berlangsung pada 4 Disember 2024 di Dewan Banquet, Parlimen Malaysia.

SLU ini melibatkan Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negara untuk membuka ruang bagi mendengar, berbincang, dan merancang masa depan yang lebih gemilang.

Kerjasama serta penglibatan semua pihak adalah teras kepada kejayaan bersama.

Majlis dimulakan dengan pembentangan mengenai Kerangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas oleh YBhg. Datuk Dr. Zunika Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi.

Seterusnya, diikuti dengan taklimat mengenai Projek Kecil Berimpak Tinggi Berpaksikan Rakyat dan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) yang disampaikan oleh YBrs. Encik Sukri Bin Mat Jusoh, Pengarah Bahagian Bajet Pembangunan, Kementerian Ekonomi.

Sesi diteruskan dengan dialog bersama YB Menteri Ekonomi yang memberikan ruang untuk perbincangan lebih lanjut mengenai topik-topik yang berkaitan.

SLU ini merupakan inisiatif penting oleh Kerajaan dalam usaha menyebarluaskan maklumat serta mengenal pasti isu dan cabaran berkaitan pembangunan sosioekonomi. Ia juga bertujuan untuk mengumpul maklum balas dan cadangan dalam usaha memperkukuh keperluan pembangunan di setiap negeri di Malaysia. Untuk maklumat lanjut sila layari laman sesawang rasmi RMK13 di https://rmk13.ekonomi.gov.my/rmk13/pandangan-awam/ dan laman sesawang IKR di https://ikr.ekonomi.gov.my.