STI adalah penting dalam merealisasikan Wawasan 2020 kerana ia berupaya untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan negara dari segi ekonomi, sosial, keselamatan dan alam sekitar. STI merupakan asas bagi pembangunan teknologi yang baharu dan lestari untuk memenuhi keperluan rakyat serta menangani cabaran global seperti isu kesihatan, perubahan iklim, penuaan masyarakat dan perubahan gaya hidup. Dalam menangani cabaran-cabaran ini, dasar-dasar berkaitan STI telah diperkenalkan seperti berikut:

(i) Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (2013 – 2020)

- Menggariskan hala tuju pelaksanaan STI bagi mewujudkan sebuah negara maju saintifik untuk transformasi sosio-ekonomi dan pertumbuhan inklusif. Rangka kerja dasar ini memberi penekanan kepada peranan STI dalam menyokong program transformasi kerajaan, ekonomi berasaskan pengetahuan dan sebagai percaturan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi, berdaya saing, mampan dan inklusif. Enam teras strategik telah dikenal pasti untuk memacu STI seperti berikut:

  • Memajukan bidang-bidang penyelidikan dan pembangunan saintifik, sosial dan pengkomersialan;;
  • Membangun, memupuk dan menggilap bakat;
  • Menggiat dan mencergaskan industri;
  • Mentransformasi tadbir urus STI;
  • Menggalak dan memupuk kesedaran STI; dan
  • Mengukuhkan hubungan strategik antarabangsa.

(ii) Dasar Bioteknologi Negara (2005 – 2020)

- Menjadikan bioteknologi sebagai enjin ekonomi baharu untuk Malaysia. Dasar ini bertujuan untuk membina persekitaran yang kondusif bagi R&D dan pembangunan industri bioteknologi sambil memanfaatkan kekuatan dan kelebihan sedia ada. Dasar ini disokong oleh sembilan teras strategik seperti berikut:

  • Pembangunan bioteknologi pertanian
  • Pembangunan bioteknologi perubatan;
  • Pembangunan bioteknologi industri;
  • R&D and pemerolehan teknologi;
  • Pembangunan modal insan;
  • Pembangunan infrastruktur kewangan;
  • Pembangunan kerangka perundangan dan pengawalseliaan;
  • Kedudukan strategik; dan
  • Komitmen kerajaan.

(iii) Dasar Angkasa Negara (2017 – 2030)

- Memacu pembangunan sektor angkasa negara yang menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi baharu dan strategik. Dasar ini merangkumi lima teras strategik seperti berikut:

  • Mengukuhkan tadbir urus dalam mengoptimumkan akses negara kepada keupayaan angkasa;
  • Menumpukan kepada teknologi, infrastruktur dan aplikasi angkasa yang signifikan kepada negara;
  • Memacu pembangunan sains dan teknologi angkasa serta membina kepakaran;
  • menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan negara; dan
  • meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama serta jaringan antarabangsa.