NCD menyumbang kepada kira-kira 73% daripada jumlah kematian pada tahun2015 dengan penyakit kardiovaskular termasuk serangan jantung dan strok menjadi penyebab yang paling kerap. Kematian yang disebabkan penyakit kardiovaskular dianggarkan 35% berlaku dalam kalangan individu yang berumur kurang daripada 60 tahun terutamanya individu yang bekerja.
Kajian Beban Penyakit Kedua di Malaysia yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum pada tahun 2012 telah menyenaraikan hipertensi, merokok, diabetes, kolesterol dan BMI yang tinggi sebagai penyumbang terbesar kepada peningkatan kehilangan jumlah tahun sihat (disability adjusted life-years) dan jumlah kematian. Terdapat juga peningkatan beban penyakit berganda, iaitu NCD seperti hipertensi dan diabetes yang dihidapi bersama CD seperti denggi, tuberculosis (tibi) dan malaria yang menyebabkan kemerosotan status kesihatan semasa. Malaysia telah berjaya mengurang atau membasmi sebahagian besar CD berikutan pelbagai inisiatif kesihatan seperti program imunisasi dan program kesedaran kesihatan. Walau bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, insiden CD kembali meningkat dan terdapat kemunculan semula penyakit yang telah dibasmi seperti lymphatic filariasis dan tibi yang disebabkan oleh kebanjiran pendatang asing tanpa izin. Isu ini telah memberi tekanan kepada sumber sektor penjagaan kesihatan.
Selain itu, terdapat beban kesihatan berganda berkaitan malnutrisi berikutan peningkatan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak serta kadar tumbesaran yang terbantut dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah lima tahun. Prevalens berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa dan remaja turut meningkat.
Berdasarkan Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2015 (NHMS), prevalens diabetes mellitus (diketahui dan tidak didiagnos) secara keseluruhan dalam kalangan dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas telah meningkat kepada 17.5% pada tahun 2015 daripada 15.2% pada tahun 2011. Walau bagaimanapun, prevalens hipertensi (diketahui dan tidak didiagnos) dalam kalangan dewasa telah menurun kepada 30.3% pada tahun 2015 daripada 32.7% pada tahun 2011.
Selain itu, 30% daripada golongan dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas mempunyai berat badan berlebihan dengan BMI antara 25 ke 30 dan 17.7% adalah obes dengan BMI melebihi 30. Hanya 6% daripada golongan dewasa rakyat Malaysia mengamalkan cara pemakanan harian yang sihat seperti disyorkan dengan lima atau lebih hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Merokok dan pengambilan arak secara berlebihan turut menyumbang kepada peningkatan insiden NCD. Dianggarkan 20,000 rakyat Malaysia telah terbunuh setiap tahun disebabkan oleh tabiat merokok dan terdedah kepada asap rokok, dan dijangka terus meningkat kepada 30,000 orang pada tahun 2020.
Selain daripada duti eksais yang dikenakan ke atas arak dan tembakau, Kerajaan melalui pelbagai agensi telah melaksanakan kempen dan program untuk menghentikan tabiat merokok dalam kalangan rakyat, seperti kempen Tak Nak Merokok. Walaupun adanya pelaksanaan inisiatif ini, penurunan prevalens penggunaan tembakau dalam kalangan lelaki masih tidak ketara, daripada 43.9% pada tahun 2010 kepada 43% pada tahun 2015. Peratusan peminum arak tegar pula telah menurun daripada 11.6% pada tahun 2010 kepada 7.7% pada tahun 2015.
Peningkatan kepada prevalens CD dan NCD mendorong kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan negara dan memberikan cabaran untuk mengekalkan kualiti dan kos perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berpatutan untuk jangka masa yang panjang.
Penyediaan perumahan mampu milik adalah antara tumpuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, usaha akan dipergiat bagi memperkukuh pengurusan perumahan mampu milik, meningkatkan kemampuan dan akses kepada perumahan untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana serta menggalakkan penyediaan kemudahan yang mesra persekitaran untuk daya huni yang lebih baik. Antara strategi utama yang akan dilaksanakan ialah:
- penubuhan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara untuk mengawasi pelaksanaan perumahan mampu milik di seluruh negara;
- pelbagai inisiatif perumahan mampu milik awam oleh beberapa kementerian dan agensi akan dirasionalisasi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan;
- kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan ditambah baik bagi membendung kenaikan kos pembinaan rumah mampu milik termasuk projek Program Perumahan Rakyat;
- kajian semula ke atas subsidi bagi program perumahan mampu milik akan dilaksana untuk memastikan kemampanan program serta mengoptimum sumber kerajaan;
- institusi kewangan juga akan digalak untuk menyediakan akses yang lebih baik kepada pembeli rumah pertama dengan memperkenal skim pembiayaan yang lebih fleksibel dan inovatif; dan
- skim pembiayaan perumahan sedia ada akan ditambah baik untuk menyediakan penyelesaian yang mampan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Usaha yang akan diambil bagi memperkasa pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah seperti berikut:
- Meningkatkan akauntabiliti melalui libat urus bersama komuniti setempat dan badan bukan kerajaan, penguatkuasaan bagi memastikan projek awam dan swasta mematuhi environment impact assessment (EIA) dan social impact assessment (SIA), memastikan PBT mematuhi garis panduan dan operasi standard serta penarafan PBT;
- Memperkukuh penyampaian perkhidmatan PBT melalui melalui libat urus antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan PBT serta sektor swasta, menjalankan kajian bagi mengenal pasti standard perkhidmatan antarabangsa lain dan amalan terbaik serta menilai kecekapan perkhidmatan setiap PBT. Perkongsian data juga akan ditambah baik untuk memastikan data dapat diakses oleh rakyat; dan
- Memperkukuh kerjasama untuk merangsang pembangunan ekonomi setempat dengan memperkemas strategi untuk mengekalkan penduduk dan perniagaan sedia ada dan baharu, mempergiat kerjasama antara PBT dan komuniti perniagaan, menambah baik infrastruktur dan utiliti dan mempertingkat ketelusan dan penguatkuasaan.
- 2846 views