Kementerian Ekonomi dengan kerjasama World Bank telah menganjurkan bengkel selama dua hari yang berlangsung pada 7 dan 10 Jun 2024 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur dan Menara Prisma, Putrajaya.

Bengkel bertajuk “Inequality and Prosperity: Measures and Methods” telah dihadiri oleh penggubal dasar dan kakitangan teknikal daripada Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Objektif latihan ini adalah untuk melengkapkan pembuat dasar dan pegawai teknikal dengan kemahiran terkini untuk mengukur ketidaksamarataan dan kemakmuran dengan menggunakan alat yang relevan seperti Stata 15.

Ini sekaligus meningkatkan kecekapan membuat keputusan dan kapasiti penggubalan dasar berasaskan data, serta memperluaskan pemahaman tentang ukuran dan kaedah terkini dalam menilai ketidaksamarataan.

Bengkel ini juga telah memperkenalkan pelbagai konsep dan ukuran ketidaksamarataan berdasarkan amalan terbaik antarabangsa, dengan fokus terhadap kaedah yang boleh diterapkan dalam reka bentuk dasar yang relevan untuk Malaysia.

Menjelang Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) bengkel ini telah membantu menghasilkan beberapa idea dan strategi untuk diterapkan dalam rancangan bagi menangani kemiskinan di Malaysia.