Kementerian Ekonomi bersama Malaysia Productivity Corporation (MPC), telah menganjurkan Bengkel Reformasi Kerenah Birokrasi X Generative Artificial Intelligence (RKB X GenAI) pada 17 – 19 Ogos 2025 bertempat di Tanah Rata, Pahang.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Nor Azlina binti Ariffin, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Ekonomi. Pada sesi pertama bertarikh 17 Ogos 2025, bengkel dimulakan dengan pengenalan kepada aplikasi Artificial Intelligence (AI) dalam proses pelaporan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

Bengkel RKB X GenAI telah dihadiri oleh wakil daripada Bahagian di Kementerian Ekonomi dan Agensi di bawah Kementerian Ekonomi bagi memperkemas proses kerja dan memperincikan draf awal pelaporan projek.

Bengkel ini menjadi wadah bagi mereka untuk bersama-sama memudah cara proses kerja Bahagian/Agensi masing-masing sebelum menyediakan laporan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

Hal ini selaras dengan mandat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, yang menegaskan bahawa “Reformasi Satu Kemestian” dalam menyeru keseluruhan perkhidmatan awam untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh menjelang tahun 2030.

Melalui bengkel ini, peserta turut didedahkan dengan penerapan teknologi Generative Artificial Intelligence (GenAI) dalam mempercepat pelaksanaan 19 projek RKB Kementerian Ekonomi, khususnya dalam aspek analisis dasar, pengurangan kerenah birokrasi, serta pembangunan solusi inovatif berasaskan data.

Pada hari ketiga (19 Ogos 2025), para peserta telah membentangkan laporan projek masing-masing kepada YBhg. Dato’ Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral), Kementerian Ekonomi. Sesi pembentangan oleh wakil projek dari Bahagian dan Agensi diperkukuh melalui sesi soal jawab (Q&A) bagi menambah baik dan memperincikan laporan projek masing-masing.

Seterusnya, YBhg. Dato’ Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral), Kementerian Ekonomi turut merasmikan penutupan Bengkel RKB X GenAI dan mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua peserta dan urus setia MPC di atas penglibatan dan usaha keras mereka dalam menyediakan laporan sebelum diperaku dan dibentangkan kepada YBhg. Dato' KSU.

Secara keseluruhannya, bengkel ini diharap dapat mempertingkat keupayaan pegawai Kementerian Ekonomi dalam memanfaatkan teknologi baharu ke arah peningkatan daya saing negara, seterusnya menyokong aspirasi Malaysia untuk berada di kedudukan ke-12 terbaik Laporan Daya Saing Dunia menjelang 2030.

#KementerianEkonomi

#ReformasiSatuKemestian

#MalaysiaMADANI

#MalaysiaMaju

#PerkhidmatanAwam

#EkonomiMADANI

#RakyatDidahulukan

#ProduktivitiNegara

#MPC

#TransformasiDigital

#Inovasi

#RKB

#GenAI

#Governance

#TeamMalaysia