12 Jun 2025 (Khamis), Kementerian Ekonomi telah menganjurkan Brown Bag Lunch Talk Siri 2 - How Malaysia Can Navigate Its Demographic Transition and Unlock Opportunities Within the Silver Economy bertempat di Bilik Seminar, Aras G, Menara Prisma, Kementerian Ekonomi. Kursus ini menghimpunkan seramai 33 orang peserta yang terdiri daripada pegawai Kementerian Ekonomi.

Ceramah ini membincangkan cabaran utama yang dihadapi Malaysia dalam menghadapi peralihan demografi ke arah masyarakat menua, serta strategi untuk memanfaatkan potensi ekonomi warga emas atau “silver economy”.

Fokus diberikan kepada pendekatan dasar yang inklusif, inovasi dalam sektor penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, perluasan peluang pekerjaan untuk warga emas, serta pembangunan produk dan perkhidmatan mesra usia. Ceramah ini turut menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat dalam mewujudkan ekosistem yang menyokong penuaan sihat dan aktif, sambil merangsang pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan aktif golongan berusia.

Melalui ceramah ini, peserta didedahkan kepada pendekatan strategik berasaskan data dalam merangka dasar serta pelaksanaan program berkaitan warga emas secara lebih sistematik dan berkesan. Peserta juga diberi pendedahan mengenai cabaran sebenar dalam melaksanakan pemantauan dan pengurusan inisiatif berkaitan, di samping membincangkan penyelesaian proaktif yang boleh menyokong pembangunan silver economy secara mampan. Ceramah ini telah dikendalikan oleh Philip O’Keefe, Profesor Amali di University of New South Wales dan Asia Program Lead di Centre for Population Ageing Research (CEPAR).

Adalah diharapkan ceramah ini dapat membuka perspektif baharu kepada para peserta dalam memahami kesan perubahan struktur demografi terhadap pembangunan negara, serta mendorong penggubalan dasar yang lebih inklusif, berdaya tahan dan responsif terhadap keperluan masyarakat menua.

Ceramah ini juga diharap dapat memperkukuh peranan peserta dalam menyumbang kepada usaha menjadikan silver economy sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

#BrownBagLunchTalk #KementerianEkonomi #MalaysiaMADANI #Taatsetia