- 21 views
9 Januari 2025, Kuala Lumpur - Forum Ekonomi Malaysia 2025 (FEM2025) telah dirasmikan dengan penuh penghormatan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama YB Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Forum ini merupakan platform penting untuk menetapkan hala tuju ekonomi negara, memperkukuhkan daya saing Malaysia di peringkat global, dan meneroka peluang baharu dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar serta dinamik.
FEM2025 menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk sektor awam, swasta, dan masyarakat sivil, untuk bersama-sama mencari solusi terbaik dalam mengangkat kekuatan ekonomi negara. Forum ini turut memberi tumpuan kepada bidang-bidang utama seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur digital, dan perdagangan bebas, seiring dengan visi Malaysia sebagai negara kecil, terbuka, dan tidak berpihak (SONA) yang bersedia memanfaatkan peluang dekad ini.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah hadir, termasuk rakan kongsi strategik seperti Maybank, CGS International Malaysia, Bursa Malaysia, dan MBSB Bank, atas sokongan padu yang diberikan. Kehadiran dan sokongan anda semua menjadi tunjang kepada kejayaan forum ini. Bersama-sama, kita akan terus melangkah maju ke arah masa depan ekonomi Malaysia yang lebih progresif, inklusif, dan mampan.