Kementerian Ekonomi melalui Pusat SDG Negara telah bekerjasama dengan Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat, dalam menganjurkan acara sampingan (side event) pada 8 Julai 2024.

Acara sampingan yang bertemakan "Resilient Cities - Urbanisation and Climate Actions" adalah sebahagian daripada Forum Politik Tertinggi Matlamat Pembangunan Mampan (High-Level Political Forum on Sustainable Development Goals, HLPF SDG) yang diadakan di Ibu Pejabat PBB di New York. Delegasi Malaysia diketuai oleh YBhg Dato' Luqman Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro), yang juga memberikan kenyataan sebagai ahli panel.

Sesi acara sampingan ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, dengan kehadiran 47 peserta dari 14 negara serta organisasi dan agensi PBB. Pembentangan oleh ahli-ahli panel dan perbincangan susulan menyentuh isu-isu bandar secara khusus serta negara secara amnya, berkaitan kesan perubahan iklim dan amalan-amalan terbaik untuk meningkatkan prestasi SDG.

Kementerian Ekonomi, sebagai focal point untuk SDG, akan memberikan beberapa kenyataan intervensi berkaitan tema-tema SDG serta menyediakan kenyataan negara yang akan disampaikan oleh Ketua Delegasi Malaysia di Forum HLPF SDG.