Kementerian Ekonomi, sebagai focal point untuk SDG kebangsaan, telah menyertai sesi-sesi tematik SDG dalam Forum Politik Tertinggi Matlamat Pembangunan Mampan (High Level Political Forum on Sustainable Development Goals, HLPF SDG) dari 8 hingga 12 Julai 2024 di Ibu Pejabat PBB, New York. Tema HLPF tahun ini adalah pembasmian kemiskinan yang disebabkan oleh pelbagai krisis.

Delegasi Malaysia, yang diketuai oleh YBhg Dato' Luqman Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro), telah memberikan empat kenyataan intervensi untuk SDG 1 (tiada kemiskinan), SDG 2 (kelaparan sifar), SDG 17 (kerjasama demi matlamat), dan Penyetempatan SDG. Selain itu, satu acara sampingan berjaya dianjurkan pada 8 Julai 2024, dengan penyertaan 47 peserta dari 14 negara, YBhg Dato' Luqman telah berpeluang untuk menyampaikan kenyataan sebagai ahli panel.

Pada minggu kedua HLPF, Forum diteruskan dengan Segmen Menteri di mana delegasi Malaysia diketuai oleh YB Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Pada 15 Julai, Ketua Delegasi Malaysia menyampaikan kenyataan negara yang disediakan oleh Kementerian Ekonomi melalui Pusat SDG Negara. Kenyataan tersebut menekankan komitmen Malaysia terhadap SDG yang selari dengan prinsip Malaysia MADANI. Fokus kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar, meningkatkan tahap fiskal melalui penyasaran subsidi diesel, dan menyeru penghentian semua bentuk keganasan untuk keamanan dunia dan SDG turut diutarakan.

Forum HLPF, yang merupakan acara tahunan untuk SDG, akan diteruskan sehingga 18 Julai dengan Segmen Menteri. Setiap wakil negara akan memberikan kenyataan berkenaan SDG dan membentangkan laporan Voluntary National Reviews (VNR) dari negara-negara terpilih. Malaysia dijadualkan membentangkan laporan VNR ketiga pada tahun 2025, selepas laporan pada tahun 2021.