Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Mizuho Bank (Malaysia) Berhad telah menjalin kerjasama strategik bagi memperkukuh pelaburan di Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).

Kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam menarik lebih banyak pelaburan, mempercepat realisasi projek, serta mewujudkan peluang ekonomi yang mampan dan inklusif di rantau ini.

Melalui kerjasama ini, Mizuho Bank (Malaysia) Berhad komited menyediakan hampir USD600 juta dalam bentuk sokongan kewangan kepada pelabur di JS-SEZ. Sokongan ini merangkumi aspek pembiayaan, promosi, penganjuran acara, serta penyediaan maklumat pasaran. Antara sektor yang dikenal pasti berpotensi besar termasuk pembuatan makanan dan minuman, pusat data, penjanaan tenaga serta industri berkaitan kimia.

Menteri Ekonomi, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan bahawa perkongsian ini akan mengukuhkan kedudukan JS-SEZ sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, selaras dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau serta mencipta peluang bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.

Dengan kerjasama rapat antara Malaysia, Johor dan Singapura, JS-SEZ diyakini mampu menjadi pemangkin pembangunan mampan dan meningkatkan keyakinan pelabur di peringkat global.

#KementerianEkonomi #MalaysiaMadani #MadaniBekerja #taatsetia