2 Mei 2025, Putrajaya - YBhg. Dato' Nor Azmie bin Diron, Ketua Setiausaha telah menerima kunjungan hormat daripada HE Eng. Mohamed Hamel, Ketua Setiausaha Gas Exporting Countries Forum (GECF). Turut hadir ialah Encik Aleksandr Tolparov, Ketua di Pejabat Ketua Setiausaha GECF dan wakil daripada PETRONAS.

Penyertaan Malaysia dalam forum ini telah bermula pada tahun 2001 hingga tahun 2006 dan tahun 2019 hingga kini. GECF merupakan satu organisasi antarabangsa kerajaan (IGO) yang menyediakan platform dan kerangka kerja bagi bertukar pengalaman dan maklumat selain bertujuan untuk meningkatkan koordinasi dan memperkukuhkan kolaborasi di antara negara-negara pengeluar gas utama dunia. Pada masa ini, GECF yang berpusat di Doha, Qatar dianggotai oleh 12 buah negara. Sebanyak 7 buah negara yang berstatus Observer Member yang turut menyertai GECF termasuk Malaysia.

Perbincangan hari ini bertujuan meningkatkan kerjasama dan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan GECF. Penglibatan Kerajaan di dalam forum ini adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mengunjurkan penggunaan gas asli dalam jumlah bekalan tenaga utama (TPES) negara adalah sebanyak 56% pada tahun 2050. Diharapkan penyertaan Malaysia di dalam GECF dapat memastikan komitmen Kerajaan dalam pembangunan gas asli global dan matlamat NETR dapat dicapai.

#KementerianEkonomi

#NETR

#MalaysiaMADANI

#MADANIBekerja