- 10 views
12 Jun 2025, Menara Prisma Kementerian Ekonomi – Kementerian Ekonomi Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli dengan kerjasama Seksyen Pembangunan Sumber Manusia, Bahagian Sumber Manusia dengan jayanya telah melaksanakan Kursus Navigating The Blue Economy: Sustainable Solutions For The Future di Bilik Seminar, Aras G, Menara Prisma, Kementerian Ekonomi.
Objektif kursus Navigating the Blue Economy: Sustainable Solutions for the Future adalah untuk memberikan pemahaman menyeluruh mengenai konsep Ekonomi Biru dan peranannya dalam mencapai pembangunan lestari, khususnya dalam sektor berkaitan lautan. Kursus ini turut mengenal pasti cabaran utama yang dihadapi ekosistem marin seperti pencemaran, penangkapan ikan berlebihan dan perubahan iklim, di samping meneroka penyelesaian yang mampan.
Di samping itu, peserta akan didedahkan kepada rangka kerja peraturan antarabangsa dan dasar nasional yang berkaitan, serta amalan terbaik dalam industri marin bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang bertanggungjawab dan lestari.
Ceramah yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Hazman bin Samsudin dan Dr. Khaira binti Ismail telah memberi penekanan terhadap kepentingan ekonomi biru sebagai pendekatan strategik dalam mencapai pembangunan mampan, khususnya bagi negara pesisir seperti Malaysia. Perbincangan merangkumi potensi sektor-sektor utama seperti perikanan, pelancongan marin, tenaga boleh baharu, serta pemuliharaan ekosistem laut yang bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah memperkukuh ketahanan komuniti pesisir.
Para penceramah turut menekankan keperluan kepada perancangan berasaskan data dan tadbir urus yang bersepadu melalui pelaksanaan Marine Spatial Planning (MSP) dan sistem Ocean Accounting. Pendekatan ini membolehkan penilaian yang lebih holistik terhadap aset marin negara, serta membuka ruang kepada pembiayaan lestari seperti blue bonds dan kredit karbon biru.
Secara keseluruhan, ceramah ini telah memperkukuh kefahaman peserta terhadap peranan ekonomi biru sebagai pemacu utama ke arah pembangunan negara yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan kelestarian.
#NavigatingTheBlueEconomy
#UMT #KementerianEkonomi
#OceanAccounting