Pada 20 Mei 2025 (Selasa), Kementerian Ekonomi telah menganjurkan Kursus Pemantauan Pelaksanaan Projek Pembangunan dan Hands-On Sistem MyProjek yang berlangsung di Bilik Seminar Aras G, Menara Prisma. Kursus ini menghimpunkan seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada pegawai Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia, koridor Ekonomi Wilayah, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), serta pelbagai agensi di bawah Kementerian Ekonomi.

Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan keupayaan peserta dalam aspek pemantauan pelaksanaan projek pembangunan serta pengendalian Sistem MyProjek secara lebih efisien dan sistematik. Kursus telah dibahagikan kepada empat sesi utama yang merangkumi topik-topik penting dalam pengurusan projek pembangunan.

Melalui kursus ini, peserta didedahkan kepada kaedah pengemaskinian maklumat projek secara sistematik serta penggunaan data bagi menyokong pelaporan dan analisis status pelaksanaan projek. Selain itu, kursus ini turut membantu peserta memahami cabaran yang dihadapi dalam proses pemantauan dan membincangkan langkah-langkah penyelesaian secara proaktif.

Kursus ini telah dikendalikan oleh barisan penceramah berpengalaman daripada Bahagian Pembangunan Kementerian Ekonomi iaitu Encik Mohd Fakhruddin bin Milatusamsi, Encik Mohd Shahidin bin Mohamad, dan Encik Mohd Bakti bin Mohd Sahid, serta Encik Zulhilmi bin Hussin dari Seksyen Sistem Pemantauan Projek, ICU Jabatan Perdana Menteri.

Diharapkan kursus ini dapat meningkatkan kecekapan peserta dalam menjalankan pemantauan projek pembangunan secara berintegriti dan berkesan, seiring dengan usaha berterusan Kementerian dalam memperkukuh tadbir urus dan keberhasilan pelaksanaan projek pembangunan negara.