- 8 views
Pada 13 Jun 2025 (Jumaat), Kementerian Ekonomi telah menganjurkan Kursus Pengenalan Ekosistem Halal Malaysia bertempat di Bilik Seminar, Aras G, Menara Prisma, Kementerian Ekonomi. Kursus ini menghimpunkan seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada pegawai Kementerian Ekonomi daripada gred 1 hingga gred 14.
Kursus ini bertujuan untuk memberi kefahaman mendalam mengenai usaha membangunkan ekosistem dan industri Halal di Malaysia dalam usaha menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kursus ini telah dibahagikan kepada tiga sesi utama yang merangkumi pelbagai topik penting berkaitan pengenalan ekosistem Halal di Malaysia.
Selain itu, kursus ini turut memperkenalkan proses pensijilan Halal yang melibatkan prosedur permohonan, pengauditan, dan kelulusan sijil Halal bagi memastikan pematuhan kepada standard yang telah ditetapkan.
Penekanan turut diberikan terhadap kepentingan Malaysia Standard (MS) sebagai satu bentuk kawalan kualiti dalam industri Halal yang sangat penting dalam menjamin keyakinan pengguna dan kebolehpasaran di peringkat global. Para peserta juga didedahkan dengan isu-isu semasa berkaitan industri Halal, termasuk penyalahgunaan logo Halal serta kaedah-kaedah pengujian status Halal dalam industri makanan dan produk pengguna.
Kursus ini telah dikendalikan oleh barisan penceramah berpengalaman dari pelbagai agensi berkaitan industri Halal. Antaranya ialah Encik Hairol Arifein Sahari daripada Halal Development Corporation Berhad (HDC), Puan Fakheezah binti Borhan daripada Jabatan Standard Malaysia, dan Encik Mohamad Samir bin Sulaiman daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Diharapkan kursus ini dapat meningkatkan kecekapan peserta dalam memahami serta melaksanakan pemantauan dan pengurusan industri Halal secara berintegriti dan berkesan, selaras dengan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus serta memperluas keberhasilan pembangunan ekosistem Halal negara.
#KementerianEkonomi #MalaysiaMadani #TaatSetia