Kuala Lumpur, 3 September 2020 – YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) mengadakan lawatan ke Kompleks Majlis Sukan Negara bagi meninjau projek blok asrama 14 tingkat yang akan dapat menempatkan seramai 350 orang dan 1 blok podium 3 tingkat bagi kemudahan atlet negara.

Lawatan ini adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin agar pemantauan di peringkat akar umbi dilaksanakan secara berkala bagi melihat perkembangan semasa susulan pembukaan semula ekonomi negara.

Sektor pembinaan antara sektor ekonomi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19, Pemaju, kontraktor, pembekal, hingga ke pekerja binaan mengalami masa yang sukar sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 18 Mac 2020. Namun kini keadaan semakin pulih, lebih 95 peratus sektor pembinaan kembali berjalan seperti biasa.

Sehingga kini, pembangunan Projek Naik Taraf Asrama 14 Tingkat dan Podium Majlis Sukan Negara sudah mencatatkan kemajuan sebanyak 94.03% dan 92.028%. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 30 Oktober 2020.

Hadir sama, YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Pengurusan Tertinggi Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Kerja Raya serta wakil kontraktor Haluan Prisma Sdn Bhd, Wakil Perunding Arkitek, C&S, M&E dan Ukur Bahan.