- 39 views
3 Januari 2025, Putrajaya - Warga Kementerian Ekonomi telah berhimpun di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya bagi mengikuti secara dalam talian (live streaming) untuk mendengar Amanat Tahun Baharu 2025 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi amanat YAB Perdana Menteri, beliau menyeru para penjawat awam untuk terus mencari kaedah baharu dalam meningkatkan lagi prestasi kerja dan tidak sekadar berasa selesa, supaya kecemerlangan dalam membangunkan negara dapat dicapai, selain memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Malaysia seterusnya diharap menjadi suatu model perkhidmatan yang terbaik di kalangan negara berkembang serta negara Islam.
Turut hadir bersama, YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi, YBhg. Dato' Nor Azmie Bin Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Dr. Zunika Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Dr. Yatimah Binti Sarjiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral), dan YBhg. Datuk Lukman Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro), serta warga kerja Kementerian Ekonomi.
Perhimpunan bulanan ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) : Sistem VMQLAB dan- Interactive Notice of Change (INOC). Selain itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada Skuad Ihsan MADANI ECERDC dan NCIA-Peminjam Buku Terbanyak tahun 2024.
Penghargaan ini bertujuan untuk menggalakkan seluruh tenaga kerja Kementerian Ekonomi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam menjalankan tugas. Dengan semangat baharu tahun 2025, diharapkan Kementerian Ekonomi dapat mencapai lebih banyak kejayaan dan terus memberi impak positif kepada pembangunan Malaysia dan kesejahteraan masyarakat.