Bertemakan “Memacu Masa Depan Tenaga’, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Banci Perkhidmatan dan Peralatan Minyak & Gas (OGSE) 2024 dengan sokongan PETRONAS dan dirasmikan oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi.

Selaras dengan inisiatif Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 (OGSE Blueprint), Banci OGSE 2024 ini bertujuan menyeragamkan dan mengatur pengumpulan data kritikal sektor OGSE dan merupakan program banci pertama di dunia yang melibatkan sektor OGSE.

Banci ini juga turut menyertakan bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi menyokong agenda kerajaan berlandaskan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) untuk mencapai sasaran Karbon Sifar Bersih menjelang tahun 2050.

Sehingga September 2024, Banci OGSE 2024 akan melibatkan 3,582 syarikat OGSE pada tahun pertama bancian untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang prestasi dan hala tuju sektor OGSE di Malaysia.

Kredit foto: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)