18 September 2024, Kuala Lumpur - Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2024 (Malaysia SDG Summit 2024) telah berlangsung pada 18 September 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Hari terakhir diteruskan dengan sesi perbincangan daripada sektor kerajaan, swasta, ahli akademik dan orang awam.

YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi telah menjadi moderator bagi Parallel Session 8 (Prosperity) - Balancing Regional Development Topic: “Advancing SDGs in at the Economic Corridors” bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif dari Koridor Ekonomi Malaysia.

Ucapan penutup telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi. Sidang Kemuncak ini telah menghimpunkan hampir 6,000 peserta daripada pihak kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, sektor swasta, akademia dan masyarakat umum bagi memperkukuh hubungan pelbagai pihak berkepentingan serta membincangkan strategi untuk mencapai objektif SDG. Acara ini melibatkan 7 sesi plenari, 10 sesi paralel serta 48 reruai pameran yang mempamerkan semua usaha berkaitan SDG.

Cadangan dan pandangan yang dibincangkan semasa Sidang Kemuncak ini adalah penting sebagai input bagi penyediaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang akan mencorakkan hala tuju negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 serta penyediaan Laporan Semakan Kebangsaan atau Voluntary National Review Malaysia yang akan dibentangkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2025. Untuk maklumat lanjut mengenai Sidang Kemuncak ini, sila layari laman web rasmi Pusat SDG Negara di https://www.sdgcentre.gov.my/