- 40 views
17 September 2024, Kuala Lumpur - YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri telah menyempurnakan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2024 (Malaysia SDG Summit 2024) pada 17 September 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Turut hadir YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi, YBhg Dato' Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara (KAN) bersama ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta wakil penjawat awam.
Sidang Kemuncak tahun ini bertemakan "Tindakan Tempatan untuk Malaysia yang Inklusif, Mampan dan Berdaya Tahan," mencerminkan komitmen teguh negara untuk mempercepat pelaksanaan SDG dalam tempoh yang berbaki enam tahun lagi menjelang 2030.
YAB Perdana Menteri, dalam ucapannya, menegaskan bahawa walaupun Malaysia menunjukkan prestasi baik dalam petunjuk SDG dengan pencapaian 43 peratus berbanding purata global sekitar 17 peratus, pencapaian ini tidak akan bermakna jika prinsip keadilan, ihsan, dan kesejahteraan alam sekitar tidak diberi perhatian.
Beliau menegaskan komitmen Kerajaan untuk memajukan aspek kemampanan melalui inisiatif MADANI, yang bertujuan untuk pembangunan seimbang yang mencerminkan identiti unik Malaysia dengan prinsip SDG iaitu “tiada sesiapa yang tertinggal” sebagai panduan dalam semua strategi dan tindakan pelaksanaan.
Dalam pada itu, YAB Perdana Menteri turut mengadakan sesi lawatan ke reruai pameran SDG16 yang melibatkan penyertaan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar. Sekian, terima kasih.